Monday, 23 August 2010

Puteriku


11hb APRIL, 2010... tarikh yang akan selalu menjadi ingatan selamanya dalam sejarah hidupku. Yang tidak akan aku lupakan walau hancur badan dikandung tanah. Tarikh yang memberi seribu satu makna. Kegembiraan yang limpahkan dan kesedihan yang seolah merentap jantungku. Pada tanggal ini lahirnya seorang bayi...! Bayi yang bersih dari segala dosa dan noda. Puteri... ya, seorang puteri yang indah rupawan. Walau aku tidak menyambut kelahirannya, walau aku tidak mendukungnya, walau aku tidak mengucupnya, walau aku tidak mengazannya... dan aku hanya mengetahui kelahirannya selapas 3 hari, aku tetap bersyukur kerana puteriku lahir dengan selamat walau hanya berusia 8 bulan dalam kandungan.

Masih aku ingat lagi kali pertama menatap wajahnya. Itupun setelah seminggu kelahirannya. Takdir ALLAH Yang Maha Kuasa yang menetapkan pertemuanku dengan puteriku. Sungguh indah rupanya. Mempunyai iras wajah dan warna kulit ibuku. Saling tak tumpah. Bertemu dengannya bukan mudah. Aku terpaksa melepasi rintangan daripada ibu dan nenek puteriku. Walau aku dilontar dengan kata-kata kesat dan hinaan namun setelah aku melihat wajah puteriku, setelah aku mendukungnya, segala perasaan sedih dan marahku hilang. Aku mengazan dan iqamatkan puteriku. Setelah itu aku mengucup dahinya. Puteriku masih belum membuka matanya. Bermakna, hanya aku yang melihatnya dan sehingga ke saat ini, puteriku tidak pernah melihatku.

Secara kebetulan Ramadhan tahun ini jatuh pada tanggal 11hb Ogos, bersamaan genap 4 bulan umur puteriku. Namun takdir memisahkan aku dan puteriku. Tidak aku mengetahui hingga kini apa masalah isteri dan ibu mertuaku yang kini sedang bertungkus lumus memfailkan tuntutan hak penjagaan anak di mahkamah. Kini menanti tarikh perbicaraan. Aku hanya berserah pada ALLAH untuk menentukan segalanya. Setahu aku, telah aku berusaha sebaiknya untuk menyelamatkan keadaan yang aku sendiri tidak begitu pasti isinya.

Pada mulanya aku bercadang untuk menamakan puteriku Nur Aisyah. Namun sekali lagi keadaan diluar kawalanku pabila aku dapati keluarga isteriku telah membuat pendaftaran kelahiran dan menamakan puteriku dengan nama Nur Insyirah. Apapun aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka memilih nama yang baik. Nur Insyirah... cahaya kebahagian. Aku tidak pasti samada puteriku dapat memberi cahaya kebahagian pada hubungan antara aku dan isteriku tetapi aku berdoa agar ALLAH melimpahkan cahaya kebahagian pada puteriku... Nur Insyirah.


MSB

2 comments: