Friday, 6 August 2010

Perihal Diriku

BAHAGIAN DUA

Januari 1990, Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung. Sekolahku adalah sebuah sekolah yang kecil dimana hanya sebuah bangunan panjang dua tingkat yang menempatkan kesemua kelas, perpustakaan, pusat sumber dan pejabat. Setiap darjah hanya mempunyai satu kelas yang dapat menampung hampir 30 pelajar dalam satu masa. Hari pertama persekolahan, aku mendapat beberapa orang kawan baru. Ahmad Anas, Mustagim, Arshad dan Siti Hajar. Menjelang hari ketiga persekolah, aku telah mengenal seluruh ahli kelas aku. Keluarga baru ku yang akan bersama selama 6 tahun.

Cikgu darjah kami Pn. Ramilah, seorang guru yang amat berdedikasi dan cekap dalam mengajar kami. Dia jugalah yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik. Cikgu Fatimah, guru Bahasa Inggeris yang digeruni namun sorang yang amat peramah dan bersifat keibuan. Masalahnya aku tak ingat nama Ustazah yang mengajar Pendidikan Islam sebab Ustaz & Ustazah kerap bertukar. Cikgu Azlan, guru pendidikan Jasmani. Dia adalah hero kami ketika itu. Jurulatih pasukan bola sepak sekolah dan guru penasihat Pengangkap. Sporting dan mesra tetapi kalau marah, memang menyinga. Hehehe... jangan marah cikgu.

Cikgu-cikgu lain yang masih dalam memori... Cikgu Ibrahim (Guru Besar 1990-1993), Cikgu Noor Hasanah (Guru Besar merangkap Cikgu Bahasa Melayu), Arwah Cikgu Hamid, Arwah Cikgu Karim, Cikgu Murad, Cikgu Mariam, Mendiang Cikgu Chin, Cikgu Mas, Cikgu Husin (kini di PPD, PPinang), Cikdu Shiraz, Cikgu Faridah. Kalau ada nama cikgu yang tidak tersenarai, saya memohon maaf sebab kesingakatan memori saya, namun jasa dan pengorbanan cikgu semua sentiasa diingati dan dihargai.

Kenangan cikgu yang bersara semasa aku masih disekolah adalah Cikgu Ibrahim, Cikgu Fatimah dan Cikgu Hamid. Cikgu yang berpindah adalah Cikgu Ramilah serta Ustaz dan Ustazah. Peristiwa yang tak dapat dilupakan dan yang merentap jiwa adalah pada tahun 1995 apabila Cikgu Karim, cikgu kelas darjah 6 aku meninggal akibat sakit jantung. Kami semua menziarahi arwah dirumah dan disitu secara tidak sedar berlinang air mataku melihat jasadnya yang terbujur kaku di ruang utama rumahnya di Kampung Melayu. Semoga Cikgu ditempatkan bersama orang-orang yang sabar dan beriman di'sana'... ameen.

Aku jadi ketua darjah masa darjah 1 dan penolong masa darjah 2. Ahmad Anas plak penolong masa darjah 1 dan ketua di darjah 2. Sebab itulah kami jadi kawan baik. Sama juga kedudukan dalam kelas selepas peperiksaan hujung tahun, darjah 1 & 2 aku dapat tempat pertama, Anas tempat kedua. Tapi masuk darjah 3, dia pegang sampai darjah 6. Tapi Pendidikan Islam memang aku yang punya. Cuma darjah 5 aku terlepas ke tempat ke-2. Siti Hajar rampas kedudukan aku.

Masa sekolah rendah dulu aku jadi pengawas masa darjah 4 dan darjah 6. Masa darjah 5 status pengawas aku dirampas diatas satu kesalahan yang aku tak buat. Sedih dan marah sangat aku masa itu. Tapi aku sabar dan diatas kesabaran tersebut, masa darjah 6 Arwah Cikgu Karim sebagai Guru Disiplin baru ketika itu melantik semula aku sebagai pengawas. Aku juga jadi Troop Leader Pengangkap masa darjah 6. Dan aku pegang Vokalis Utama nasyid dari darjah 3 sampai darjah 6. Juga menjadi pemain bola sepak masa darjah 5 dan 6. Pernah menyertai pertandingan Pidato, Nasyid, Bercerita, Perbahasan dan tilawah Quran antara sekolah.

UPSR menjadi tajuk utama semasa di darjah 6. Ye la... memang semua orang pun sama. Darjah 6 tahun yang paling penting. Tetapi tahun itu jugalah Arwah Cikgu karim meninggal dunia. 4 bulan sebelum UPSR. Dan dia jugalah pembakar semangat kami untuk berusaha lebih baik untuk UPSR. Dan hasilnya, aku dapat 'A' dalam Bahasa Melayu Penulisan, 'B' untuk Bahasa Melayu Pemahaman & Bahasa Inggeris dan 'C' untuk Matematik. Dan seperti biasa, LULUS bagi PAFA (Pendidikan Islam).

November, 1995 ~ Darjah 6 ~ SK Sri Tanjung... aku meninggalkan sekolahku dengan pengalaman dan pelajaran yang ditimba selama 6 tahun untuk menuju ke satu lagi tahap dalam perjalananku. Aku satu-satunya pelajar yang ditetapkan untuk melanjutkan pelajaranku ke sebuah sekolah yang mempunyai rekod yang agak tidak memberangsangkan. Ini kerana beberapa kawanku yang turut terpilih ke sekolah tersebut telah memohon untuk pertukaran. Tetapi aku tidak mengambil langkah tersebut. Aku tidak tahu dan tidak pasti kenapa. Tapi aku teruskan juga. Aku terpaksa berpisah dengan kawan-kawanku yang lain. Dan akan aku teruskan perjalananku.


MSB

No comments:

Post a Comment