Showing posts with label Perjalananku. Show all posts
Showing posts with label Perjalananku. Show all posts

Wednesday, 22 September 2010

Perihal Diriku

BAHAGIAN TIGA

Bermulanya hari pertama aku di tingkatan satu di SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WESTLANDS. Sekolah sesi sebelah petang. Aku disenaraikan ke kelas 1K1 iaitu kelas pertama diantara lima kelas tingkatan satu. Aku masih ingat lagi bahawa aku tiada kenalan lain di sana kecuali seorang sepupu aku dan beberapa rakannya yang belajar di tingkatan tiga. Dari pagi sehingga ke waktu rehat aku masih tidak berkenalan dengan sesiapa memandangkan masing-masing sibuk dalam percubaan membiasakan diri di suasana yang teramat baru itu. Dalam ketika aku berlegar-legar di koridor yang menempatkan papan-papan kenyataan persatuan dan kelab yang terdapat di sekolah tersebut, seorang pelajar yang juga baru memasuki tingkatan satu dan juga dari kelas 1K1. Seperti aku, dia juga keseorangan di sekolah tersebut kerana asalnya dia dari Kedah. Kami berkenalan di koridor tersebut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Zaidi. Secara rasminya sahabat pertama aku di SMK Westlands.

Dari perbualan kami aku dapat tahu yang dia mahu memohon untuk bertukar sekolah kerana berasa kemungkinan tidak dapat menyesuaikan dirinya disini. Namun aku cuba memujuknya untuk terus kekal dan belajar. Rasanya pujukan aku berjaya kerana aku masih melihatnya sehingga kami sama-sama tamat tingkatan lima. Tamat waktu rehat hari pertama tersebut, aku kembali ke kelas aku. Masing-masing masih agak jual mahal untuk berkenalan sesama sendiri. Namun terdapat beberapa pelajar dari kelas peralihan tahun sebelumnya menyertai kelas aku. Antara mereka adanya beberapa orang yang menjadi pengawas dan bertindakan mengawal kelas sebelum guru kelas mengambil alih tanggungjawab. Aku sememangnya tahu bahawa minggu pertama sudah pasti tidak akan ada pelajaran yang akan dijalankan maka aku telah membawa beberapa majalah kartun UJANG ke sekolah. Dalam aku menghiburkan diri membaca majalah tersebut, sorang dari pengawas di dalam kelas aku merampasnya kerana majalah sebegitu tidak dibenarkan di sekolah. Theeban, itulah nama pengawas tersebut. Dan seorang lagi pengawas yang disebelah dia ketika itu bernama Thamarai Selvi. Hati aku memang membara ketika itu. Tapi apakan daya, aku hanya berdiam diri. Aku mengambil semula majalah tersebut dari pejabat Pn. Koay, Penyelia Sesi Petang dengan sedikit nasihat dan amaran sebagai bonus.

Bermulanya hari kedua, aku mula berkenalan dengan rakan-rakan kelas aku termasuk kedua pengawas yang kenakan aku. Maka bermulalah ikatan sebuah keluarga yang akan bersama-sama mengharungi suka, duka, pahit, manis dan kenangan-kenangan indah bagi sepanjang lima tahun yang mendatang.


MSB

Friday, 6 August 2010

Perihal Diriku

BAHAGIAN DUA

Januari 1990, Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung. Sekolahku adalah sebuah sekolah yang kecil dimana hanya sebuah bangunan panjang dua tingkat yang menempatkan kesemua kelas, perpustakaan, pusat sumber dan pejabat. Setiap darjah hanya mempunyai satu kelas yang dapat menampung hampir 30 pelajar dalam satu masa. Hari pertama persekolahan, aku mendapat beberapa orang kawan baru. Ahmad Anas, Mustagim, Arshad dan Siti Hajar. Menjelang hari ketiga persekolah, aku telah mengenal seluruh ahli kelas aku. Keluarga baru ku yang akan bersama selama 6 tahun.

Cikgu darjah kami Pn. Ramilah, seorang guru yang amat berdedikasi dan cekap dalam mengajar kami. Dia jugalah yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik. Cikgu Fatimah, guru Bahasa Inggeris yang digeruni namun sorang yang amat peramah dan bersifat keibuan. Masalahnya aku tak ingat nama Ustazah yang mengajar Pendidikan Islam sebab Ustaz & Ustazah kerap bertukar. Cikgu Azlan, guru pendidikan Jasmani. Dia adalah hero kami ketika itu. Jurulatih pasukan bola sepak sekolah dan guru penasihat Pengangkap. Sporting dan mesra tetapi kalau marah, memang menyinga. Hehehe... jangan marah cikgu.

Cikgu-cikgu lain yang masih dalam memori... Cikgu Ibrahim (Guru Besar 1990-1993), Cikgu Noor Hasanah (Guru Besar merangkap Cikgu Bahasa Melayu), Arwah Cikgu Hamid, Arwah Cikgu Karim, Cikgu Murad, Cikgu Mariam, Mendiang Cikgu Chin, Cikgu Mas, Cikgu Husin (kini di PPD, PPinang), Cikdu Shiraz, Cikgu Faridah. Kalau ada nama cikgu yang tidak tersenarai, saya memohon maaf sebab kesingakatan memori saya, namun jasa dan pengorbanan cikgu semua sentiasa diingati dan dihargai.

Kenangan cikgu yang bersara semasa aku masih disekolah adalah Cikgu Ibrahim, Cikgu Fatimah dan Cikgu Hamid. Cikgu yang berpindah adalah Cikgu Ramilah serta Ustaz dan Ustazah. Peristiwa yang tak dapat dilupakan dan yang merentap jiwa adalah pada tahun 1995 apabila Cikgu Karim, cikgu kelas darjah 6 aku meninggal akibat sakit jantung. Kami semua menziarahi arwah dirumah dan disitu secara tidak sedar berlinang air mataku melihat jasadnya yang terbujur kaku di ruang utama rumahnya di Kampung Melayu. Semoga Cikgu ditempatkan bersama orang-orang yang sabar dan beriman di'sana'... ameen.

Aku jadi ketua darjah masa darjah 1 dan penolong masa darjah 2. Ahmad Anas plak penolong masa darjah 1 dan ketua di darjah 2. Sebab itulah kami jadi kawan baik. Sama juga kedudukan dalam kelas selepas peperiksaan hujung tahun, darjah 1 & 2 aku dapat tempat pertama, Anas tempat kedua. Tapi masuk darjah 3, dia pegang sampai darjah 6. Tapi Pendidikan Islam memang aku yang punya. Cuma darjah 5 aku terlepas ke tempat ke-2. Siti Hajar rampas kedudukan aku.

Masa sekolah rendah dulu aku jadi pengawas masa darjah 4 dan darjah 6. Masa darjah 5 status pengawas aku dirampas diatas satu kesalahan yang aku tak buat. Sedih dan marah sangat aku masa itu. Tapi aku sabar dan diatas kesabaran tersebut, masa darjah 6 Arwah Cikgu Karim sebagai Guru Disiplin baru ketika itu melantik semula aku sebagai pengawas. Aku juga jadi Troop Leader Pengangkap masa darjah 6. Dan aku pegang Vokalis Utama nasyid dari darjah 3 sampai darjah 6. Juga menjadi pemain bola sepak masa darjah 5 dan 6. Pernah menyertai pertandingan Pidato, Nasyid, Bercerita, Perbahasan dan tilawah Quran antara sekolah.

UPSR menjadi tajuk utama semasa di darjah 6. Ye la... memang semua orang pun sama. Darjah 6 tahun yang paling penting. Tetapi tahun itu jugalah Arwah Cikgu karim meninggal dunia. 4 bulan sebelum UPSR. Dan dia jugalah pembakar semangat kami untuk berusaha lebih baik untuk UPSR. Dan hasilnya, aku dapat 'A' dalam Bahasa Melayu Penulisan, 'B' untuk Bahasa Melayu Pemahaman & Bahasa Inggeris dan 'C' untuk Matematik. Dan seperti biasa, LULUS bagi PAFA (Pendidikan Islam).

November, 1995 ~ Darjah 6 ~ SK Sri Tanjung... aku meninggalkan sekolahku dengan pengalaman dan pelajaran yang ditimba selama 6 tahun untuk menuju ke satu lagi tahap dalam perjalananku. Aku satu-satunya pelajar yang ditetapkan untuk melanjutkan pelajaranku ke sebuah sekolah yang mempunyai rekod yang agak tidak memberangsangkan. Ini kerana beberapa kawanku yang turut terpilih ke sekolah tersebut telah memohon untuk pertukaran. Tetapi aku tidak mengambil langkah tersebut. Aku tidak tahu dan tidak pasti kenapa. Tapi aku teruskan juga. Aku terpaksa berpisah dengan kawan-kawanku yang lain. Dan akan aku teruskan perjalananku.


MSB

Wednesday, 4 August 2010

Perihal Diriku

BAHAGIAN SATU

Dilahirkan pada tahun 1983 di Hospital Bersalin Pulau Pinang... sebenarnya belum sempat sampai hospital aku dah terkeluar sikit... tak sabar nak tengok dunia... hehehe...

Aku adalah hasil dari hubungan cinta sejati antara satu pasangan suami isteri yang penyanyang yang diijab-kabulkan pada tahun 1982. Bapaku berasal dari India yang telah menetap di Pulau Pinang dari usia 7 tahun. Kiranya sebelum merdeka bapaku telah berada di Tanah Melayu. Ibuku pula sememangnya anak Malaysia walau berketurunan India. Senang cerita aku adalah dari keturunan yang dikenali sekarang sebagai IndiaMuslim. Nak lebih pendek Mamak.

Dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah kota Georgetown. Rumahku cuma beberapa meter dari Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Rumah sewa yang didiami oleh hampir 9 buah keluarga. Dan diantara 9 keluarga tersebut, hanya kami sekeluarga yang beragama Islam. Yang lain semuanya adalah berketurunan Cina. Cuma kurang keluarga dari golongan Hindu untuk cukupkan kuota untuk menjadi Rumah Sewa Majmuk. Ramai yang bertanya macam mana kami dapat bertahan disana. Sebuah keluarga Islam dikelilingi oleh kaum Cina. Bagi kami, tiada masalah. Malah kisah keluargaku pernah dirakamkan di dalam sebuah akhbar Cina. Aku kehilangan cebisan berita tersebut semasa berpindah ke rumahku sekarang. Dan aku juga lupa akan tahun dimana berita itu dikeluarkan.

Aku membesar bersama sahabat-sahabat Cinaku dirumah tersebut. Segala aktiviti kami lakukan bersama. Namun ntah kenapa, sehingga sekarang aku masih belum boleh bertutur bahasa Cina. Sedangkan emakku sudah cekap atau 'Master' berbahasa Mandarin kalau tak silap. Sehingga aku berusia 6 tahun, aku dimasukkan ke sebuah tadika di Lebuh Carnavon. Tadika Balai Polis Central... disinilah aku mula mempunyai kawan-kawan yang baru. Dalam ramai-ramai rakan di tadika itu, hanya 2 orang saja yang masih aku berhubung. Seorang sepupu aku sendiri... hehehe... Nurul Asyikin dan seorang lagi sahabat iaitu Hafriz. Yang lain ntah kemana pergi mereka. Aku doakan mereka semua berjaya dalam hidup masing-masing.

Selesai tadika aku meneruskan pendakian ke Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung, Jalan Hutton (1990-1995). Disini aku menemui kawan-kawan baru yang lebih ramai dan berdepan dengan lebih banyak kerenah. Disinilah aku belajar mengenal tingkah laku manusia, belajar bagaimana cara politik beroperasi, belajar mengenal perpisahan apabila ada guru yang bersara, berpindah dan meninggal dunia. Aku juga belajar mengenai setiakawan. 6 tahun penuh pengalaman yang berguna untuk aku meneruskan perjalananku.


MSB